Bahagian Sokongan Keluarga

KAUNTER PERKHIDMATAN PELANGGAN BSK JOHOR BERSEMPENA SEMINAR LITERASI UNDANG-UNDANG

KAUNTER PERKHIDMATAN PELANGGAN DAN BOOTH PAMERAN BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI JOHOR BERSEMPENA SEMINAR LITERASI UNDANG-UNDANG

bptn1

PONTIAN, Johor, 10 April 2016 (Ahad) – Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor telah berpeluang membuka Kaunter Perkhidmatan dan Booth Pameran bersempena dengan Program Seminar Literasi Undang-Undang : “Pledge For Parity” Komitmen Kami anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Johor Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama MPWK Tanjung Piai dan MPWK Pontian. Program telah diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Pekan Nenas, Pontian dan perasmian disempurnakan oleh YB Puan Hajah Asiah Binti Md. Ariff, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor.

Seminar yang berlangsung setengah hari itu bertujuan untuk memberi pendedahan dan maklumat kepada peserta mengenai peranan gender dalam setiap aspek kehidupan seharian masyarakat, memastikan hak-hak mereka terpelihara dan ketidaksamaan dapat dihindari mengikut peruntukan tertentu dalam perundangan serta memberi maklumat kepada masyarakat tentang saluran aduan dan bantuan yang disediakan kepada mangsa keganasan rumahtangga.

Penceramah-penceramah undangan yang terlibat adalah YA Tuan Muhammad Khaldun Bin Mohamad Sharif (Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Johor Bahru), YBhg. Doktor Sharifah Halimah Binti Jaafar (JEIWA),YBhg. Puan Norfadilah Binti Mohamed Nizar (JEIWA) dan YBhg. Puan Hajah Haliza Binti Abdullah (Peguam Sivil).

Pengunjung yang hadir ke booth pameran BSK Johor rata-ratanya adalah daripada golongan ibu-ibu tunggal, kakitangan kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya serta mereka ini berpeluang bertanyakan pelbagai persoalan berkaitan nafkah anak, nafkah idah dan nafkah isteri serta instrumen apa yang digunakan untuk menguatkuasakan perintah yang tak dipatuhi. YB Puan Hajah Asiah juga berkesempatan melawat booth BSK dan menurunkan tandatangannya pada Buku Pelawat yang disediakan.

Semoga dengan aktiviti turun padang dan penglibatan BSK Johor bersama masyarakat seperti ini dapat memberikan manfaat yang banyak seterusnya membantu dalam meleraikan keresahan dan memberikan kelegaan kepada rakyat Negeri Johor khususnya dan rakyat Malaysia amnya terutama dalam mendepani polemik tuntutan nafkah.