Bahagian Sokongan Keluarga

BSK JOHOR DAN JBG JOHOR SEPAKAT JALIN KERJASAMA

BSK JOHOR DAN JBG JOHOR SEPAKAT JALIN KERJASAMA

jbg1

JOHOR BAHRU, 16 Mac 2016 (Rabu)- Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Johor dan Jabatan Bantuan Guaman Negeri Johor telah sepakat untuk membuat pertemuan bagi mengintai peluang mewujudkan jaringan-jaringan kerjasama di samping mengeratkan hubungan silaturrahim di antara dua agensi.  Inisiatif ini pada mulanya telah diambil oleh BSK Johor dengan mengadakan Kunjungan Hormat dan Lawatan Kerja ke JBG Johor dalam usahanya memperkemaskan gerak kerja penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah Mahkamah Syariah khususnya dalam aspek nafkah isteri, nafkah anak dan nafkah idah. Kunjungan ini telah diadakan pada 16 Mac 2016 (Rabu) jam 9:00 pagi setelah melalui beberapa pindaan tarikh dan masa. Delegasi lawatan ini telah diketuai oleh YAA Dato’ Haji Amir Bin Danuri, Ketua Hakim Syarie Negeri Johor dan turut mengiringi beliau ialah Tuan Mohammad Radzi Bin Sadiman, Penolong Pengarah Kanan BSK Johor, Puan Zaidah Binti Mahmood, Pegawai Eksekutif JKSNJ, En Rahmat Fitri @ Yusoff Bin Muhammad, Penolong Pegawai Eksekutif JKSNJ dan seluruh warga kerja BSK Johor. Ketibaan rombongan lawatan telah disambut oleh oleh Pengarah JBG Johor, Puan Madiha Binti Zainol, Tuan Ridzuan Bin Zainuddin, Penolong Pengarah Kanan JBG Johor dan pegawai serta kakitangan JBG Johor.

Dalam pada menjalankan tugas dan peranannya, BSK Negeri Johor adakalanya berdepan dengan situasi di mana kes-kes yang membabitkan Perintah Tahanan Pendapatan & Tenaga (PTPT) tidak dipatuhi oleh majikan Penghutang Penghakiman, terutamanya oleh majikan non-muslim. Sikap memandang enteng akan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah menjadi faktor kegagalan melaksanakan perintah potongan gaji ini.

Selain daripada itu, isu berhubung dengan penyampaian perintah nafkah yang telah diputuskan oleh Mahkamah terdahulu; terdapat peguam-peguam yang mengendalikan kes-kes berkaitan nafkah tidak membuat penyampaian perintah tersebut kepada pihak-pihak khususnya pihak Defendan/bekas suami yang tidak hadir sewaktu Mahkamah membuat keputusan. Ini menjadi alasan kepada bekas-bekas suami untuk tidak melaksanakan nafkah yang diperintahkan seterusnya menjadi halangan kepada entiti seperti BSK untuk menguatkuasakan perintah tersebut kerana Defendan beralasan tiada pengetahuan tentang perintah.

Sehubungan dengan itu, suatu bentuk kerjasama di antara BSK Negeri Johor dan JBG Negeri Johor wajar diwujudkan bagi membantu Bahagian ini melaksanakan tindakan-tindakan penguatkuasaan bukan sahaja kepada para penghutang penghakiman malah melangkaui majikan-majikan yang gagal patuh kepada perintah Mahkamah Syariah.

Hasil dari kunjungan, lawatan dan perbincangan dua hala ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk:-
1. Mengambil cakna akan perintah-perintah nafkah yang terdahulu dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah supaya segera disampaikan kepada pihak-pihak terutamanya kepada suami/bekas suami yang tidak hadir ketika keputusan mahkamah diumumkan, supaya penguatkuasaan perintah dapat diambil;
2. Mengadakan perbincangan lanjut berhubung dengan isu pendakwaan ke atas majikan-majikan non-muslim yang mengingkari Perintah Tahanan Pendapatan Dan Tenaga (PTPT) dalam waktu terdekat ini;
3. Mengintegrasikan program-program yang dianjurkan;
4. Mengadakan mesyuarat berkala membabitkan dua agensi;
5. JBG Johor bersedia untuk membekalkan pamflet-pamflet berkaitan perkhidmatan JBG kepada JKSNJ bagi memudahkan orang awam memperoleh pengetahuan tentang perkhidmatan yang ditawarkan;
6. JBG Johor boleh menyalurkan kes-kes berbentuk penguatkuasaan nafkah kepada BSK untuk diambil tindakan penguatkuasaan; dan
7. BSK Johor bersedia menghulurkan bantuan kepada JBG Johor dalam kes-kes penguatkuasaan yang dijalankan oleh JBG Johor (sekiranya ada).