Bahagian Sokongan Keluarga

JKSNJ SERTAI KARNIVAL USAHAWAN ASNAF (KUA) 2016

Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan usahasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah mengadakan Karnival Usahawan Asnaf (KUA) 2016 pada 01-03 Disember 2016 bersamaan dengan 01-03 Rabiul Awal 1438 H bertempat di Padang C, Plaza Angsana Johor Bahru, Johor. Pelbagai acara menarik yang telah diatur oleh pihak penganjur antaranya seperti Pameran Kereta Klasik, Pameran Motosikal Klasik & Vespa, Global Zakat Game (Bijak Zakat), Pertandingan Seni Kaligrafi Khat Bawah 16 Tahun dan Terbuka, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Pertandingan Bilal Muda (Azan), Persembahan Pentomen, Persembahan Nasyid dari Zul Handy Black dan UNIC, Food Truck Fiesta, Kids Wonderland dan lain-lain lagi. YAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah berkenan mencemar duli merasmikan karnival berkenaan.

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor (JKSNJ) turut tidak ketinggalan menyertai karnival tersebut dengan membuka Kaunter Khidmat Pelanggan dan Reruai Pameran yang mana di dalamnya turut memaparkan Sejarah dan Latarbelakang Mahkamah Syariah Negeri Johor, Visi, Misi serta Fungsi JKSNJ. Selain itu, maklumat berkaitan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) dan Sulh juga dipaparkan sebagai rangka promosi dan hebahan yang berterusan. Pengunjung-pengunjung kehormat telah meluangkan masa mengunjungi reruai pameran JKSNJ dan mereka termasuklah YB Sohibus Samahah Dato’ Haji M.Tahrir bin Dato’ Kiyai Haji Samsudin, Mufti Negeri Johor, YAA Dato’ Haji Amir bin Danuri, Ketua Hakim Syarie Negeri Johor dan Tuan Haji Jainal Sakiban, Timbalan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor merangkap Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan (Cawangan Negeri Johor). Selain JKSNJ, pelbagai agensi lain telah turut sama membuka kaunter perkhidmatan dan reruai pameran antaranya Kunter Pengiraan dan Pembayaran Fidyah (MAINJ), Kaunter Agihan Zakat (MAINJ), Kaunter Fidyah (MAINJ), Kaunter Saham Wakaf Johor (MAINJ), Kaunter Permohonan Kad Nikah (Bahagian Undang-Undang Syariah Jabatan Agama Johor, Pameran Bomba dan Demonstrasi Pemadaman Api, Pameran Time Tunnel Info Zakat (JAWHAR), Pameran Johor Southern Tigers (JDT), Pameran Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pameran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pameran dan Jualan ASNAF dari seluruh Malaysia, Tabung Haji dan sebagainya.

Pengunjung-pengunjung yang terdiri dari orang awam telah berpeluang mengajukan soalan dan meminta pandangan tentang permasalahan yang dihadapi dan rata-rata melahirkan rasa terima kasih atas kesudian JKSNJ membuat aktiviti turun padang seperti ini bagi mendengar denyut nadi rakyat secara lebih dekat dan mesra. Untuk rekod, JKSNJ telah menyertai acara seperti ini sejak tahun 2013 sebagai salah satu cara memperkasakan penyampaian perkhidmatan dan dalam usaha merakyatkan perkhidmatan JKSNJ.