Bahagian Sokongan Keluarga

JKSNJ MENYERTAI KARNIVAL WANITA DAN KELUARGA 2015

kw

Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim telah menganjurkan sebuah Karnival Wanita dan Keluarga Johor 2015 bertempat di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Johor. Program yang berlangsung pada 4-6 Disember 2015 itu telah dirasmikan oleh YB Tan Sri Mohamad bin Haji Aziz, Speaker Dewan Negeri Johor. Turut hadir bersama pada Majlis Perasmian tersebut ialah YB Puan Hajah Asiah bte Md. Ariff, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta YAA Dato’ Haji Amir bin Danuri, Ketua Hakim Syarie Negeri Johor. Program karnival berkenaan turut diserikan dengan pelbagai acara yang telah disusun oleh penganjur seperti Dikir Zikir yang menampilkan Kumpulan Nasyid UNIC , Imam Muda Asyraf dan Al-Fadhil Al-Ustadz Syed Abdul Kadir Al-Jofree dengan pengisian Slot “Istimewanya Wanita”. Selain itu, turut tidak ketinggalan, satu Persembahan Sketsa Modul Keluarga Sakinah dengan tajuk ‘Peranan Wanita Dalam Keluarga” menjadi antara tarikan utama. Selain itu juga, acara lain yang turut diadakan adalah Peragaan Busana, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, Senamrobik, Bengkel Hijabista, Pertandingan Kumpulan Akustik, Pertandingan Kucing Comel, Demonstrasi Masakan (Dapur Sihat) dan banyak lagi.  Satu penampilan khas dari kumpulan sedang meningkat naik iaitu Caliph Buskers dan persembahan daripada vokalis Ayai ILUSI turut memeriahkan lagi suasana karnival.

Demi menyebarluaskan peranan dan fungsi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor kepada masyarakat dan juga dalam mendepani isu-isu kemasyarakatan seperti hal ehwal nikah kahwin dan perceraian, JKSNJ telah mengambil peluang ini dengan membuka booth pameran dan kaunter perkhimatan pelanggan. Penyertaan JKSNJ dalam program ini dilihat selari dengan aspirasi kerajaan untuk merakyatkan perkhidmatan awam dan memperkasakan penyampaian perkhidmatan. Pembukaan kaunter khidmat pelanggan dan booth pameran ini juga menunjukkan keiltizaman dan komitmen JKSNJ yang tidak berbelah bahagi dalam meladeni permasalahan masyarakat secara hati ke hati. Alhamdulillah!