Bahagian Sokongan Keluarga

MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN PENGHARGAAN ANGGOTA CEMERLANG TAHUN 2015

bptn1 

JOHOR BAHRU, 26 April 2016 (Selasa) -  Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor telah mengadakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Penghargaan Anggota Cemerlang 2015. Majlis tersebut adalah gabungan tiga lagi majlis lain iaitu Majlis Amanat YB Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Majlis Penyampaian Dana Pendahuluan Nafkah BSK Johor dan Majlis Penyampaian Sijil Inspektorat Pengurusan Rekod.  Gabungan empat majlis dalam satu masa tersebut membuktikan JKSNJ menyambut baik saranan kerajaan dalam memastikan perbelanjaan dilakukan secara berhemah dan dalam pada masa yang sama dapat mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber yang ada. Yang Berhormat Tuan Haji Abd. Mutalip Bin Abd. Rahim, Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor telah berbesar hati untuk menyampaikan amanat kepada warga kerja JKSNJ sekaligus merasmikan dan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Penghargaan Anggota Cemerlang.

Tahun ini meyaksikan seramai 10 orang penerima APC 2015 dan 14 orang diberi Sijil Anggota Cemerlang 2015. Mereka yang telah berjaya tersenarai selaku penerima APC 2015 ialah YA Tuan Muhammad Khaldun bin Mohamad Shariff, YA Tuan Shariffuddin bin Abd. Rahman, Puan Azlina bin Yatin, Encik Yuzairy bin Yunus, Puan Norazilah binti Sardi, Puan Habibah binti Othman, Encik Hazman bin Haron, Puan Kasmah binti Othman, Encik Suliman bin Jabi dan Encik Mohd. Kmaludin bin Mohd. Noh.

Senarai penerima Sijil Anggota Cemerlang 2015 pula ialah YA Tuan Haji Jainuddin bin Mt. Sum @ Munajat, YA Tuan Lokman Hakim bin Tuan Kamaluddin, YA Tuan Haji Syahrulnizam bin Saat, Tuan Sahul Hamid bin Maideen, Puan Surlizawati binti Senin, Tuan Mohd Afizul Hakim bin Ibakarim, Tuan Muhd. Helmi bin Kasman, Puan Zaidah binti Mahmood, Puan Norazleen bin Aziz, Encik Hairulhuda bin Ngadiman, Puan Safawati binti Haji Mohd Sharif, Encik Mohamed Taib bin Jamil, Encik Mohd Nor Faizal bin Md. Khalid dan Encik Nor Halim bin Bachok.

Berucap dalam majlis itu, YB Exco juga turut melahirkan rasa syukur tak tehingga serta memberikan ucapan penghargaan khas ke atas segala pencapaian-pencapaian JKSNJ yang telah didakap sepanjang tahun 2015 yang antaranya ialah pada hal ehwal Penguatkuasaan Perintah Nafkah, JKSNJ melalui Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor telah memperolehi pencapaian KPI yang tertinggi di Malaysia untuk tahun 2014 dan 2015 berturut-turut pada skala 92.16% tahun 2014 dan terus meningkat kepada 94 % pada 2015, selain itu, JKSNJ telah memperoleh Penganugerahan dan Pengiktirafan Laman Web 5 Bintang melalui Bahagian Teknologi Maklumatnya pada Pra Penilaian Tahun 2015 oleh Unit Sains dan Teknologi ICT Negeri Johor dan JKSNJ juga telah memperoleh keputusan cemerlang dalam Audit Inspektorat Pengurusan Rekod.

“Syabas dan Tahniah saya ucapkan untuk kesemua pencapaian cemerlang Jabatan ini. Saya selaku Exco Agama Negeri ini turut merasa bangga kerana agensi di bawah portfolio saya menunjukkan pencapaian yang cemerlang” katanya ringkas.

Beliau mengingatkan supaya semua pihak tidak mudah rasa selesa dan cepat berpuas hati dengan segala pencapaian. Pihak institusi perlu berhadapan dengan perubahan persekitaran dan berusaha menangani cabaran yang mendatang.

Dalam majlis yang sama juga seramai lima orang penerima dana nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Johor telah menerima mock cheque sebagai simbolik bantuan saraan nafkah selama enam bulan yang secara keseluruhannya berjumlah RM 18,000.00.