Bahagian Sokongan Keluarga

PROGRAM PEMANTAPAN INTEGRITI ZON SELATAN SIRI 1/2016

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor (JKSNJ) dengan usahasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengadakan Program Pemantapan Integriti Zon Selatan Siri 1/2016 bertujuan membudayakan integriti dalam kalangan warga JKSNJ sekaligus membina kerangka integriti yang mapan sebati dalam denyut nadi setiap warga agar tercermin produktiviti berasaskan ketelusan dan mampu menghadirkan kepuasan serta membina persepsi positif pelanggan terhadap jabatan. Program yang berlangsung dari 3hb Mei 2016 sehingga 4hb Mei 2016 itu telah dirasmikan oleh YAA Tan Sri Doktor Ibrahim Lembut, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM.

Program tersebut turut membariskan panel penceramah yang berpengalaman luas dalam pengurusan dan hal ehwal integriti yang terdiri daripada Puan Idatul Farita Binti Mohamad Toha (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan di Cawangan Dasar dan Perundingan, JPA) dengan tajuk “Kerusi Bersawang”, Tuan Rosmadi bin Kasim (Penguasa Kanan merangkap Ketua Unit Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) membawakan tajuk “Pekerja Berintegriti : Sumber Manusia Cemerlang Untuk Perkhidmatan Awam” dan Tuan Mohd Firdaus bin Ramlan dengan bingkisan Pengalaman Di Sebalik Tirai Besi yang berdasarkan pengalaman sebenar beliau sendiri.

Program telah dihadiri oleh seramai lebih 60 orang peserta yang merangkumi Hakim-hakim Syarie, Pegawai Kanan dan kakitangan JKSNJ dan para peserta berkesempatan mengajukan pelbagai persoalan kepada penceramah dan rata-rata berpuas hati dengan input yang diperolehi daripada penganjuran program ini. Dalam program itu juga, YA Tuan Lokman Hakim bin Tuan Kamaludin, Ketua Pendaftar JKSNJ telah diberi penghormatan untuk memimpin Lafaz Ikrar Integriti dan disertai oleh seluruh warga kerja JKSNJ dengan laungan yang penuh semangat dan penuh penghayatan.

YAA Tan Sri Doktor dalam ucapannya menyeru agar semua bekerja dengan penuh integriti tidak kira apakah deskripsi tugas yang diamanahkan, sama ada tugas yang kecil atau besar. Kerana menurutnya, sekiranya seseorang pekerja itu menitikberatkan integriti dalam tugas yang ringan, maka insya Allah pekerja tersebut juga akan berintegriti dalam tugas yang lebih mencabar.

Di samping itu, beliau juga menggalakkan warga kerja JKSNJ tidak kira pangkat untuk berusaha menambah ilmu pengetahuan. “Tambahlah ilmu dan sambunglah pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, tidak kira anda seorang pegawai atau kakitangan pelaksana” ujarnya sambil memetik ayat Al-Quran dari Surah Al-Zumar ayat 9.

Para peserta juga turut diberi peluang mengadakan lawatan ke Penjara Kluang, Kg. Gajah, Johor bagi melihat dan menambah pengetahuan berhubung dengan pengoperasian penjara. Peserta-peserta turut berkesempatan melihat Sekolah Agama Tahfiz Tarbiah Husnul Khotimah yang mana pelajar-pelajarnya terdiri daripada banduan penjara tersebut dan dalam kalangan meraka ada yang telah menghafaz sehingga 10 juzuk. Untuk rekod, sekolah berkenaan telah dirasmikan pada 2013 oleh DYMM Sultan Johor serta telah dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor dan yang pertama seumpamanya di Malaysia.