Bahagian Sokongan Keluarga

SINERGI KERJASAMA BSK DAN PDRM

KICK-START ! SINERGI KERJASAMA DI ANTARA BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA (BSK), JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI JOHOR DAN
POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM)

kw

JOHOR BAHRU, 28 Februari 2016 (Ahad)- Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan kehakiman Syariah Negeri Johor dan POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM) menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan telah mengadakan pertemuan dua hala bagi membina sinergi kerjasama pintar membabitkan hal ehwal penguatkuasaan perintah nafkah.
Pertemuan telah dipengerusikan oleh Tuan Lokman Hakim Bin Tuan Kamaludin, Ketua Pendaftar JKSNJ dan telah dihadiri oleh ASP Tuan Norazlan bin Hj. Md. Derus, Ketua Balai Polis Sentral, IPD Johor Bahru Selatan. Mengiringi Tuan ASP ialah Koperal Suhaimi bin Ramli, Pegawai Polis Mahkamah Syariah Johor Bahru. Turut bersama-sama menjayakan pertemuan ini ialah Tuan Mohammad Radzi bin Sadiman, Penolong Pengarah Kanan/Peguam Syarie BSK Negeri Johor dan semua warga kerja BSK Negeri Johor.
Objektif utama kerjasama ini diadakan adalah supaya Perlaksanaan Waran Tangkapan dan Proses Perlaksanaan Sitaan dapat berjalan dengan lancar, membuat persediaan apabila berlakunya kejadian-kejadian luar jangka ketika pelaksanaan Waran Tangkap dan Sitaan dijalankan serta mengeratkan silaturrahim di antara dua agensi.
Dalam pada menjalankan tugas dan peranannya, BSK Negeri Johor acapakali berdepan dengan situasi getir yang membabitkan penangkapan para Penghutang Penghakiman . Sikap dan reaksi yang mereka tunjukkan ketika proses tangkapan dilakukan adakalanya tidak dapat dijangka. Kata-kata kesat, ancaman, tindakan provokatif dan kasar sering melatari tugas Bailif BSK/Mahkamah yang menjalankan tugas-tugas tersebut.
Sehubungan dengan itu, sinergi kerjasama di antara BSK, JKSNJ dan PDRM seperti ini dilihat tepat pada masanya bagi membantu BSK melaksanakan tindakan-tindakan penguatkuasaan agar keselamatan para Bailif BSK/Mahkamah terjamin sekaligus tugas dan peranan dapat dilaksanakan secara kondusif.
Skop Kerjasama yang dibincangkan dalam pertemuan ini termasuklah menuntut kerjasama pihak polis dalam membantu melaksanakan Waran Tangkap bagi kes pelaksanaan Waran Tangkap untuk hadir ke perbicaraan dan/atau tangkapan untuk pelaksanaan Perintah Pengkomitan, bersama Bailif BSK/Mahkamah dalam menghantar Penghutang Penghakiman ke Penjara bagi tujuan reman atau pengkomitan ke penjara dalam keadaan bergari, memastikan keselamatan bailif BSK/Mahkamah dan mengiringi Bailif BSK/Mahkamah dalam melaksanakan perintah sitaan harta tak alih Penghutang Penghakiman/Defendan.
Suatu Nota Kerjasama telah diserahsampaikan kepada ASP Tuan Norazlan bin Hj. Md. Derus sebagai simbolik kepada termeterainya persetujuan kerjasama membabitkan kedua-dua agensi.

kw