Bahasa: English

Soalan Lazim

  1. Apakah kes-kes yang terlibat yang dikendalikan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor (JKSNJ)?

    JKSNJ mengendalikan kes berkaitan tiga (3) cabang utama iaitu kes mal, kes faraid dan kes jenayah (syariah).

  2. Apa itu Mal?

    Merujuk kepada kes-kes bukan jenayah iaitu melibatkan hal-hal kekeluargaan Islam seperti kes pertunangan, perkahwinan, penceraian, nafkah, rujuk dan sewaktu dengannya.

  3. Apa itu Faraid?

    Faraid adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia dan tidak meninggalkan wasiat sebelum kematiannya. Maka harta peninggalannya akan dibahagikan kepada ahli warisnya (seperti anak, isteri, suami, ibu dll), menurut hukum Islam. Faraid merupakan satu sistem pembahagian harta secara adil di dalam Islam, di mana ada formula dibahagikan kepada keluarga si mati.

  4. Apa itu Jenayah (Syariah)?

    Segala bentuk tindakan yang dilarang dan merosakkan, samada tindakan itu ke atas badan, harta atau sebagainya. Segala bentuk kesalahan menurut Syariah yang boleh dihukum. Islam memandang tinggi kemuliaan agama, nyawa, akal, harta dan maruah. Pencabulan kepada lima perkara ini adalah jenayah yang perlu dihukum.

  5. Apa itu Talaq?

    Melepaskan ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz talaq atau seumpamanya.

  6. Apa itu Li’an?

    • Li‘an ialah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya berzina tanpa mempunyai empat orang saksi kecuali dirinya sahaja, maka hendaklah dia bersumpah empat kali “bahawa dia adalah orang yang benar” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika dia berdusta”.
    • Sekiranya isteri menolak tuduhan tersebut, maka hendaklah dia bersumpah sebanyak empat kali “bahawa suaminya itu berdusta” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika suaminya benar”.
    Jika pihak-pihak kepada suatu perkahwinan telah bersumpah secara li’an mengikut Hukum Syarak di hadapan Hakim Syarie, dalam hukumannya. Hakim Syarie itu akan memerintahkan mereka farak dan dipisahkan dan tinggal berasingan selama-lamanya.

  7. Apa itu Fasakh?

    Cerai fasakh adalah cara membubarkan perkahwinan berdasarkan sebab-sebab tertentu. Permohonan oleh isteri kepada suami dibolehkan atas sebab-sebab di bawah:
    a) Tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun.
    b) Tidak mengadakan peruntukan nafkah isteri selama tempoh 3 bulan.
    c) Telah dihukum penjara selama tempoh 3 tahun atau lebih.
    d) Tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama satu tahun.
    e) Telah mati pucuk.
    f) Telah gila selama tempoh 2 tahun.
    g) Sedang mengidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit.
    h) Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita.
    i) Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat.
    j) Memaksa isteri hidup secara lucah.
    k) Melupuskan harta isteri.
    l) Menghalang isteri menunaikan kewajipan agama.
    m) Tidak berlaku adil kepad isteri-isterinya mengikut Hukum Syarak.
    n) Tidak menyetubuhi isteri dengan sengaja walaupun 4 bulan telah berkahwin.
    o) Dan apa-apa alasan lain yang diiktiraf Hukum Syarak.

  8. Apa itu Ta’liq?

    Ta’liq adalah perjanjian yang ditandatangani semasa pernikahan. Ia membenarkan isteri memohon perceraian (cerai ta’liq) sekiranya suami melanggar mana-mana syarat yang terdapat dalam ta’liq tersebut.

  9. Apa itu Ruju’?

    Hak yang diberikan oleh Islam kepada bekas suami untuk melanjutkan ikatan perkahwinannya dengan bekas isteri yang diceraikannya sebelum habis waktu ‘iddah isteri.

  10. Bagaimana saya ingin membuat pertanyaan/cadangan/komen berkaitan urusan jabatan ini?

    Anda boleh menghantar maklum balas kepada kami melalui borang (secara atas talian) yang disediakan di sini. 

  11. Bagaimana saya ingin membuat sesuatu urusan di jabatan ini?

    Anda perlu melalui proses di kaunter jabatan (JKSNJ) sebagaimana berikut: 

  12. Bagaimanakah cara untuk saya menghubungi Laman Web Rasmi JKSNJ?
    Untuk urusan Pentadbiran, anda boleh menghubungi:-

    JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI JOHOR
    Lot 259, Jalan Abu Bakar,
    80000 Johor Bahru, Johor
    Telefon : 07 - 2199000
    Faks : 07 - 2213133