UNIT SULH

PENGENALAN SULH

Merupakan majlis perbincangan bersama antara pihak-pihak yang terlibat dalam suatu pertikaian, melibatkan satu atau lebih tuntutan di Mahkamah Syariah Johor dengan dipengerusikan oleh Pegawai Sulh. Seandainya suatu persetujuan secara damai dapat dicapai secara sukarela antara kedua belah pihak, ia akan direkodkan oleh Hakim sebagai satu perintah Mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan.

ASAS PELAKSANAAN

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah antara keduanya.”

(Surah al-Hujurat : 9)

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya nusyuz (kebencian) atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya) kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai).”

(Surah an-Nisa’ : 128)

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud :

“Perdamaian (Sulh itu diharuskan antara kaum Muslimin, kecuali sulh dalam hal mengharamkan sesuatu yang halal dan menghalalkan sesuatu yang haram.”

(Hadis Riwayat at-Timizi dan beliau menilainya Sahih – Kitab Subul as-Salam)

KELEBIHAN SULH

  • Perundingan adalah bersifat terpimpin, bukannya dominasi sebelah pihak.
  • Perundingan bersifat kerahsiaan.
  • Penyelesaian secara terbuka dan sukarela (keredaan), bukannya melepas dendam.
  • Menjimatkan masa dan kos pihak-pihak.
  • Mempercepatkan kes.