Rujuk kes nikah bawah umur di Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR : Isu perkahwinan bawah umur sepatutnya dirujuk kepada hukum syarak dan undang-undang keluarga Islam negeri, bukannya kepada akal semata-mata, kehendak orang politik atau kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata perkara itu termaktub dalam Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan bahawa hal berkaitan perkahwinan orang Islam adalah di bawah kuasa negeri kecuali di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Setiap negeri mempunyai Enakmen Undang-undang Keluarga Islam serta Mahkamah Syariah masing-masing dan Sultan atau Raja pula adalah Ketua Agama Islam di negeri (untuk membuat keputusan).

“Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri menetapkan umur minimum untuk perkahwinan ialah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.

“Bagi perkahwinan di bawah umur itu, Hakim Syarie boleh memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu Mohd Khairuddin berkata, kenyataan menteri yang mahu membuat ketetapan tertentu dalam isu perkahwinan bawah umur membabitkan orang Islam dilihat suatu bentuk campur tangan dan membelakangkan hukum syarak dan undang-undang serta institusi Mahkamah Syariah di peringkat negeri.

Beliau berkata, lebih malang lagi ada pihak yang mahu perkahwinan itu dilarang sepenuhnya tanpa ada pengecualian.

Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata perkahwinan budak perempuan berumur 11 tahun di Kelantan, yang tular di media sosial sejak Jumaat adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Beliau yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, dilaporkan berkata ini kerana perkahwinan itu tidak mendapat kelulusan daripada mahkamah untuk bapa kanak-kanak itu mewalikan anaknya dan menjadi isteri kepada orang yang lebih tua, selain kerana budak itu adalah di bawah umur iaitu 11 tahun.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin yang juga Pengarah Institut Strategi PAS Pusat (ISP), berkata Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 dan 22 Oktober 2014 memutuskan bahawa perkahwinan kanak-kanak hanya boleh dibenarkan dengan syarat ia dilakukan semata-mata untuk memenuhi kemaslahatan kanak-kanak itu secara syarie.

Beliau berkata, semua pihak perlu menghormati hukum syarak yang diaplikasikan menerusi undang-undang keluarga Islam dalam menangani isu berkaitan perkahwinan orang Islam.

“Perkara mustahak yang perlu diberikan perhatian dan penekanan dalam membincangkan isu ini ialah kaedah syarak bagi menolak kerosakan (Dar’ al-Mafasid) dan mengambil maslahah kebaikan (Jalb al-Masalih) daripada perkahwinan yang didirikan dengan kebenaran yang diberikan oleh Hakim Syarie.

“Melarang sepenuhnya perkahwinan bawah umur tanpa pengecualian adalah bercanggah dengan keharusan dalam hukum syarak.

“Menentukan sesuatu kebaikan atau keburukan bagi sebarang tindakan membabitkan agama seperti perkahwinan perlulah dirujuk pada kaedah dan hukum syarak bukan hanya akal dan nafsu semata-mata,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online | Selasa, 3 Julai 2018 | 6:10pm

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *